JellyPages.com

Friday, December 6, 2013

.::Penawar Hatiku::.

Bismillah..


Jauh kita berjalan. 
Jauh jua kita mengembara. 
Semakin lama hidup, kita kira kita sudah dewasa.
Kita kira hidup ini cuma perlu santai-santai saja.

Semakin hari semakin banyak nikmat-nikmat yang Allah hadiahkan silih berganti. 
Semakin beriman dan bersyukurkah kita? Atau tiada bezanya kita dengan hari-hari semalam?

Andai ya, maka bersyukurlah.

Andai tidak, maka bertaubatlah.

Jangan jadikan ia hanya sebagai monolog sunyi yang kaku. 
Tiada gunanya kita andai kita diberi peluang dan kesempatan untuk menyedari dosa-dosa semalam tetapi diri kita masih rela dan terus dalam keadaan yang sama.
Tiada manusia yang baik tiada masa silam, jika ada manusia yang tiada masa silam.. maka 'dia' adalah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah manusia sempurna yang dicipta Allah terpelihara sifat dan hidupnya dari dosa. Tapi kita? Tidak bukan.
Bahkan ia adalah fitrah manusia biasa. Tiada manusia yang terlepas dari berbuat dosa. Kerana kita sedia maklum Syaitan tidak akan pernah putus asa menyesatkan anak adam sehingga kiamat kelak.
Tapi ia bukanlah lesen untuk kita jadikan sebagai hujah untuk terus bergelumang dengan dosa dan maksiat, bukan?

Mari buka surat cinta buat kita semua.. 13:11

'Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.'

Kata-kata kekasih kita sangat indah sebenarnya. Ia adalah pencetus semangat kita untuk terus berubah menjadi yang terbaik pada setiap hari. 
Ia adalah penawar bagi hati yang seringkali gundah gulana.
Ia adalah pemujuk kita untuk terus berusaha walaupun mehna tanpa segan merebut hammasah.
Ia sangat setia untuk dijadikan teman mujahadah.
Ia sangat rela dijadikan teman muhasabah.

Lalu kenapa kita perlu jual mahal?
Rugi. Sangat rugi.
Membelek Al-Qur'an walau seminit, membaca dua atau tiga potong ayatnya, mentadabbur hikmah pesan-pesannya tidak perlu modal yang mahal.
Malah tidak perlu mengeluarkan kos atau fulus yang tinggi. Bahkan ia memang tidak perlu.
Membacanya juga tidak menuntut masa yang lama atau procedur yang ketat sehingga menjejaskan jadual kehidupan seharian kita yang lain.
Merenung maksud ayat-ayat cinta itu pula tidak akan menjadikan hati-hati kita terseksa dengan dendam dan benci.

Justeru, yang akan berlaku adalah sebaliknya.
AL-QUR'AN adalah jiwa mu'min.
Semakin kita rajin membacanya, semakin terbuka luas rezeki kita. Luas yang bagaimana?
Rezeki apa?
Rezeki usia, harta, iman, dan macam-macam lagi Allah akan beri dan bentangkan kepada kita.
Mungkin kita tidak diberi kekayaan yang melimpah ruah seperti Qarun. Juga tidak pada usia yang panjang beribu-ribu tahun. Tetapi, Allah akan berikan kita kecukupan pada setiap perkara yang kita lakukan.Qanaah dengan setiap perkara yang ada, dengan nikmat Allah.  Dengan itu, kita sentiasa merasa cukup dan tenang dengan nikmat-nikmat yang Allah beri.
Bukankah ketenangan itu sumber kebahagiaan?

Dengan kuasa tenang yang Allah pinjamkan, segala-galanya akan jadi mudah bagi kita. Kita boleh berfikir dan membuat pertimbangan dengan baik. Hatta ketika menghadapi saat-saat genting juga mampu ditangani dengan ketenangan. Insan yang direbut ketenangan darinya tidak akan mampu untuk pergi jauh dalam hidupnya. Bahkan hidupnya diselubungi resah yang berpanjangan. Serabut dalam membuat pertimbangan. Emosi yang tidak keruan akan menyusahkan diri dan masyarakat sekelilingnya.

Dampingilah Al-Qu'ran yang memegang kunci ketenangan. 

Andai kita mampu mengumpul koleksi novel dan buku-buku yang berjilid-jilid bahkan pelbagai jenis. Ditambah pula dengan harga setiap satu buku yang mahal dan pengorbanan masa kita semata-mata untuk membaca dan menghayati isi kandungannya. Mengapa dengan senaskah Al-Qur'an itu kita sangat berkira?

Katanya ingin menuju syurga. Lalu kenapa masih perlu ada ragu?

Diri yang menulis lagikan diuji. Maka denga nama Allah yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang harap ia adalah jalan permulaan untuk diri penulis berubah lebih baik dari hari-hari semalam. Doakan diri hamba dan kalian istiqomah dalam medan dakwah ini. 

Salam mujahadah :)



Monday, November 11, 2013

:: HATIKU ISTIMEWA:: :)

بسم الله الرحمن الرحيم 

السلام عليكم ورحمة الله وبرك

Alhamdulillah, kali ini jari jemari menari laju di atas papan kekunci memainkan rentaknya yang tersendiri mengikut irama hati. Mungkin setelah puas bermonolog sendiri, akhirnya teringat kembali blog yang hampir nak bersawang lagi. 
Tanpa lengah, tangan kanan menghalakan tetikus menuju gambar "google chrome" dan sejurus kemudian *klik. Sekejap sahaja sudah terpampar pada skrin komputer laman sesawang yang kerap digunakan untuk membuka blog.

Tidak berapa lama selepas itu, selepas berjaya memasukkan alamat email dan passwords. Kini terpampang di hadapan mata pilihan untuk mewarnai kanvas putih. 

Maka tajuk yang menjadi pilihan hati kali ini adalah hatiku istimewa :)

sumber google

Sebelum ini, selalu kedengaran pertanyaan-pertanyaan spontan dalam kalangan adik-adik, kakak-kakak dan sahabat yang lain tentang bagaimana nak hebat dalam berkata-kata. Petah dan fasih serta mampu mengeluarkan butir-butir bicara yang baik. Soalan yang sama juga, tapi diedit sedikit situasinya.

"Macam mana nak menulis dengan baik?"
"Macam mana nak menghasilkan suatu karya yang baik?"

Jujur masa ditanyakan soalan ini kepada saya, saya akan senyap buat seketika. Otak sudah semestinya ligat berfikir memikirkan jawapan yang tepat buat sang sahabat. 
Sehinggakan saya pun tertanya-tanya apakah kayu ukur yang membuatkan sesuatu itu kelihatan baik ataupun mendapat label yang baik?
Siapa yang menentukannya?
-manusia
memanglah manusia tapi anggota mana dalam badan manusia yang mengiktiraf kebaikan tersebut?
Otak?
Hati?
Perut?

lalu antara jawapan pertama yang boleh saya berikan ialah cuba tanya hatimu. :)
Selepas itu, sahabat tu pula balas balik, "kalau saya boleh tanya hati sendiri tak payah tanya awak". >.<

Sambil tersengih saya bertanya : "Hehe.. kenapa? Tak jumpa jawapankah?"

 "Hmmm, mungkin lebih tepat lagi ayatnya patut begini... Apa yang disampaikan dari hati Insya Allah akan sampai ke hati. Tidak kisahlah sama ada ia adalah dalam bentuk percakapan ataupun penulisan." Kataku.

Setiap individu mempunyai bakat dan kelebihan yang berbeza, tapi sebenarnya mempunyai potensi yang sama. Cuma yang membezakan natijahnya nanti adalah usaha diri sendiri. 

Haaahh.. dapat tak point utama yang saya nak sampaikan kepada sahabat tersebut?

Erk, tak dapat lagi?

Fikir-fikirkan dahulu... ;)

-Insya Allah akan bersambung-

Monday, July 29, 2013

::10 Akhir Ramadhan:: Di Mana Hatiku???

بسم الله الرحمن الرحيم 

السلام عليكم ورحمة الله وبركته 

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kita masih mampu menginjakkan  kaki ke pintu 10  malam-malam terakhir Ramadhan. Alhamdulillah. Dalam  kekalutan diburu peperiksaan dan beban amanah saban hari ternyata membuat diri terleka bahawa tetamu istimewa ini semakin deras melangkah pergi. Sentap membilang waktu yang berbaki. Ya Allah..10 hari lagi? Sungguh aku belum puas, belum puas untuk meneguk mutiara-mutiara yang Engkau hamparkan dalam lautan Ramadhan ini. Sangat luas, ternyata semakin aku telusuri semakin ia mempesona diri. Ternyata Ramadhan di perantauan tidak sesekali merugikan! Tidak! Banyak ibrah yang menjenguk hati, meminta untuk dibelai dan dihayati serta hikmahnya dikongsi bersama.

Mari mengembara kisah ini!
Selamat membaca..

Fenomena yang ku temui saban hari sangat berbeza dengan situasi yang pernah dilalui dahulu. Keadaan ini kadangkala memaksaku untuk bermonolog dan hanyut seketika dalam bayangan silam..
"10 hari terakhir Ramadhan sangat berbeza suasananya kalau di Malaysia," monolog Maria.

Malaysia
Detik-detik 10 Ramadhan terakhir sepatutya sangat meriah, bagaimana? Malaysia memang meriah tapi meriah yang berbeza maksudnya. Anda tahu?
Cuba senaraikan...

hmm..

Waktu-waktu sekarang ibu-ibu sibuk membuat kuih muih sama ada untuk tempahan ataupun persiapan rumah terbuka sendiri. Peniaga berlumba-lumba merebut pelanggan kerana mereka telah maklum bahawa masa yang sangat baik untuk menambahkan pendapatan adalah Ramadhan.kerana pada masa ini kuih muih, biskut-biskut raya sangat laku di pasaran.

Pada waktu ini juga, jalanraya sentiasa sesak kerana ramai yang balik ke kampung, ke bazar, ke pusat beli belah dan sebagainya. Tapi yang peliknya, kebanyakkan jalan raya akan lengang menjelang Maghrib kerana semua berpusu-pusu lari mendahului Maghrib agar mampu berbuka di rumah.

Di sekolah, pelajar-pelajar dan guru-guru semakin teruja menunggu hari cuti. 

Tukang-tukang jahit semakin khusyuk kerana kesuntukkan masa untuk menyiapkan tempahan baju yang telah ditempah sebulan dua yang lalu.

Lagu-lagu raya kedengaran berkumandang di sana sini. Seakan-akan bandar berpesta dengan pemergian Ramadhan.

Iklan-iklan di Televisyen dan Radio mula mengeksploitasi sambutan raya dengan produk-produk mereka yang kadangkala tiada kaitan langsung dengan bulan Syawal. Kelakar!

Iklan-iklan mula beroperasi mempromosikan rancangan sepanjang Ramadhan bermula dari takbir raya sampai habis bulan Syawal, bermula dari jam 12 tengah malam sampailah 12 tengah malam. Begitulah saban tahun, aku melihat fenomena itu berulang dan berulang. Kadangkala rancangan itu telahpun ditayangkan pada raya tahun lepas. Tak faham. Tapi itulah realitinya. Realiti kehidupan yang diatur kebanykkan media massa Malaysia. Tidak perlu disebutkan yang mana kerana anda juga tahu yang mana. :)

Waahhhh... banyaknya! Tapi macam baru sikit kan? Senarai ini cuma umum, belum pun lagi disentuh hal-hal yang melibatkan tarbiyyah dan sebagainya. Di setiap negeri dan kampung pasti lain pula ceritanya, bukan?

Hmm..

Di Mana Hatiku???

Kembali menjenguk hati, abaikan situasi-situasi yang berlegar-legar di minda anda. Renung kembali 20 hari Ramadhan yang telah kulalui. 

Apa ibrah yang telah engkau telah resapi di sanubari?

Apakah hikmah mampu engkau muntahkan sepanjang hari? paling tidak seminggu sekali? atau tiada langsung yang berbekas di hati? Sentap. Persoalan yang sering mengahantui namun gagal dirungkaikan dengan jawapan yang mantap dan meyakinkan.

"Aaaaahhhhh...!" Serentak helaan nafas yang panjang Maria akhirnya memuntahkan keluhannya. Sambil memerhati keadaan masyarakat arab yang sibuk dengan pelbagai urusan. Otak Maria ligat berfikir jawapan terbaik untuk menenteramkan hatinya. 

Mengapa Ramadhan kali ini masih sepi baginya, tidak seperti Ramadhan yang lalu. Sudah 20 hari Allah membelai manusia dengan tarbiyyah Ramadhan ini. Bahkan pelbagai program telah disertai sama ada ceramah, diskusi, qiamullail dan sebagainya. Namun, ia seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja lagaknya. 

Maria gadis yang petah berbicara kini kelu diam seribu bahasa. Buah fikiran yang dahulunya sering mendahui rakan-rakan di kala berbincang kini bertebaran entah di mana. Buntu gara-gara mencari hatinya. Dia juga buntu mengapa surat cinta ilahi itu tidak lagi menggetarkan hati dan mengujakan dirinya.

Ya Allah, apakah hatiku telah mati? bisik hati kecilnya. 

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta (Tiada Tuhan selain engkau)” Riwayat Abu Dawud, Ahmad. 

Sungguh semenjak kebelakangan ini, hati ini seakan jauh dari mengharapkan keredhaan dan rahmat Allah. 

Maria teringat telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai program Qiamullail pada bulan lalu. Namun, program itu telah dibatalkan serta merta kerana cuma beberapa orang sahaja yang hadir. Lalu disuruhnya sahabat-sahabat yang lain itu pulang ke rumah masing-masing dan berqiamullail di rumah. Cepat dan mudah sahaja Maria memberi arahan tanpa berbincang dengan AJK bawahannya.

Maria tertunduk, malu dengan kekhilafan diri. Semudah itu aku menilai sesuatu, qiamullail bukan diukur berdasarkan kuantiti tetapi kualiti ibadah tersebut. Mungkin itu puncanya Allah marahkan diriku. Aku begitu mudah membuat keputusan sedangkan ia belum pun bermula dan membuahkan natijah.

"Ya Allah.. sungguh hanya RahmatMu yang ku harapkan." 
"Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati-hati..janganlah engkau pesong hatiku sesudah engkau memberi petunjuk dan hidayahmu kepadaku. Engkau tetapkanlah hatiku dengan agamamu dan ketaatanku kepadamu,", doa Maria separuh merayu.


Allahu akhbar..Allahu akhbar..

Lama Maria terpaku mendengar sahutan azan yang mula kedengaran di berberapa masjid berdekatan. Sayup kedengaran azan asar berkumandang dari Masjid Syuhada. Kelihatan juga beberapa orang syabab arab dan malizi bergegas berjalan kaki menuju ke masjid menyahut seruan kejayaan. Kejayaan pasti yang Allah janjikan sama ada di dunia atau di akhirat. 


Kemudian Maria menadah tangan berdoa selepas azan. Sebak.

Maria dihayun berlalu menuju ke bilik air. Paip dibuka dengan lafaz basmallah. Dimulai dengan membasuh tangan kanan. 

"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang telah kulakukan dengan kedua tanganku ini sama ada sengaja atau tidak. Jauhkan tangan-tanganku ini dari azab api nerakaMu ya Allah."


Ketika berkumur-kumur, maria juga berdoa. 
" Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang telah aku lakukan dengan lidahku ini sama ada dari perkataan yang nyata mahupun sembunyi ya rabb. Jauhkan lidahku dari azab api nerakaMu ya Allah."

semakin lama semakin deras air mata Maria tatkala mengenangkan dosa-dosanya yang lalu, dia mengulangi doanya untuk diampunkan dosa-dosanya yang lalu pada setiap anggota yang dibasuhnya.

Akhirnya Maria paling teresak ketika berdoa : 
"....Ya Allah, jadikan aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat. jadikan aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci dan jadikan aku dalam kalangan orang-orang yang berbuat kebaikan." 



Pada akhir sujud Maria berdoa, 
"Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri..aku gagal memanfaatkan masa dan nikmat yang engkau berikan padaku sepanjang hidup ini,juga sepanjang Ramadhan ini."
"Ya Allah, berikanlah aku peluang untuk menebusnya ya Allah.."
"Ya Allah.. sungguh hanya RahmatMu yang ku harapkan." 
"Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati-hati..janganlah engkau pesong hatiku sesudah engkau memberi petunjuk dan hidayahMu kepadaku. Engkau tetapkanlah hatiku dengan agamaMu dan ketaatanku kepadaMu".

Selepas memberi salam, Maria menyeka air matanya. Akhirnya kelopak matanya dibasahi mutiara jernih. Begitu juga hatinya, basah dengan getaran-getaran yang dicari-carinya. 

Sungguh. Bertafakkur sebentar lebih baik dari solat 1000 rakaat. Hati kecilnya kini mula hidup dan bersemangat kembali. Hati Maria terasa lebih ringan dan tenang. 

Kesimpulannya

Kita perlu ada sensitiviti berkenaan kesihatan hati kita. Untung sahaja andai kita senasib dengan Maria kerana masih diberi kesempatan untuk bertaubat dan sedar akan kesilapan-kesilapan yang lalu.

Kita juga perlu memanfaatkan kesempatan yang Allah masih berikan kepada kita, iaitu kesempatan berada pada malam-malam 10 akhir Ramadhan. Kerana belum tentu Ramadhan akan datang adalah milik kita. Tapi Maut itu pasti akan menjemput kita.

Usah disibukkan dengan perkara duniawi hingga luput ukhrawi di sanubari, tidak salah membuat persiapan raya seperti membuat kuih muih, biskut raya, menempah baju dan sebagainya. Namun, jangan sampai kita sibuk dan mengabaikan tuntutan yang lebih penting seperti memperbanyakkan membaca Al-qu'ran, sedekah, memberi makan kepada orang-orang berpuasa, berbuat baik kepada jiran tetangga dan banyak lagi.

Ramadhan bukan pusat latihan untuk belajar lapar dan dahaga, namun ia adalah madrasah tarbiyyah untuk mendidik kita bertaqwa melalui proses puasa.
Seperti mana pujukkan Allah dalam surah Al-baqarah ayat 183 : 

يا أيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Mudah-mudahan langkah kita selepas muhasabah bersama Maria ini mampu membantu diri mengharungi saat-saat kemuncak Ramadhan dan diterima Allah doa dan diampuni dosa-dosa kita. Ameen.

Wallahu'alam.



Wednesday, July 17, 2013

Dengan nama Allah yang maha Pemurah Lagi maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Sudah lama tidak membuka ruangan maya ini, apatah lagi mencoret kata-kata. Rindu. Rindu merungkai hikmah hidup untuk dikongsi bersama. Rindu mentadabbur alam yang memuntahkan ibrah setiap masa. Alhamdulillah, hari ini semua yang bernyawa punya rencana yang tetap Allah tetapkan buat dirinya. Bersyukur kita masih berkesempatan menjadi tetamu Allah dalam madrasah Ramadhan yang barokah dan mulia ini. Adakah ia adalah Ramadhan terakhir bagiku? Tiada siapa mampu memberi jaminan.

Ramadhan pertama di perantauan, ramadhan pertama hidup berjauhan, ramadhan pertama penulis berseorangan tanpa keluarga tersayang. Namun, ia lumrah bagi insan berjuang. Sebagai pelajar yang hidup merantau dan bermusafir ia sebenarnya adalah kemanisan dalam menuntut ilmu, kerana di sini kami belajar erti kasih dan sayang.  Di sini juga kami mengenal erti pengorbanan yang sebenar. 


Kami merasai suasana yang tiada di Malaysia. Kami mampu mengenal budaya arab dalam menyambut bulan ramadhan. Solat fardhu di masjid sentiasa penuh. Saf-saf makmum sangat rapat dan sesak. Mak cik- mak cik yang dimamah usia itu tetap gagah mengerjakan solat sunat terawih berjemaah walaupun dengan kudrat yang tidak seberapa. Hatta ada dalam kalangan mereka yang hanya mampu solat di atas kerusi. Subhanallah, betapa mereka berpesta ibadah dalam bulan rahmat ini. Usia bukan penghalang. Melihat kesungguhan mereka, diri ini terasa sangat malu. Sungguh malu. Penulis saja berkali-kali memaksa diri untuk solat terawih di masjid.

Dek kerana itu, diri ini sentiasa merasa tercabar. Tercabar kerana belum mampu beramal dengan nikmat yang Allah kurniakan. Bukankah salah satu tanda syukur kita itu adalah menggunakan nikmat yang diberi??? Timbul keazaman tinggi untuk mencontohi mereka, menjadikan mereka peransang untuk diri ini terus bersemangat beribadah meskipun cuma ibadah sunat sahaja. 


Dalam keterujaan penulis menanti sahabat Ramadhan yang dirindu, diri ini terkejut menerima berita pemergian nenda tercinta. Sedih. Dari kejauhan diri hanya mampu mengirim doa kepadanya. Memang berat untuk menerima tapi hati kena redha.


Memandangkan jarak masa antara Jordan dan Malaysia selama 5 jam, pastinya orang Malaysia akan mendahului kami memasuki pintu Ramadhan. Pada 1 Ramdhan, selepas balik dari kuliah hati tiba-tiba teringin buka laman sosial muka buku. Tanpa lengah diripun buka muka buku, dan seperti biasa penulis akan meninjau khabar dari keluarga, saudara-mara dan sahabat-sahabat di Malaysia terlebih dahulu. Setelah beberapa minit kemudian, penulis terbaca status pak cik yang menghabarkan pemergian mak cik saudara pada malam Ramadhan. Kaku tanpa suara. Innalillahi wainna ilaihi raji'un akhirnya terpacul dari mulut setelah sedar ketentuan ilahi. Sungguh tiada siapa yang mampu menduga hidup dan ajal manusia. Masih terkesan dengan pemergian nenda, kini mak cik pula menyusul. Allahu rabbi...

Khabar ini adalah berita kelima yang kuterima sepanjang tahun ini. Sungguh ajal itu sangat dekat. Mati bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan tetapi adalah titik permulaan. Maka dengan itu penulis menyeru sahabat-sahabat sekalian marilah kita memohon keampuanan dan bertaubat kepada Allah serta meningkatkan amalan kita untuk bekalan di alam sana kelak. 



Mati adalah kunci hidup abadi
Hati perlu seniasa mengingati mati
 kerana
Mati adalah kunci kehidupan abadi

MATI

Mengingatinya mampu menjadikan kita termotivasi.
Mengingatinya hidup lebih berhati-hati.
Mengingatinya kita lebih bermisi.

Sungguh dengan mengingati mati itu tersirat makna yang sangat dalam buat penduduk bumi, membuatkan kita lebih berstrategi dalam memilih laluan hidup ini.

Sungguh tetamu ini sudah kita ketahui tugasnya sentiasa menjenguk dan melawat diri, lebih kerap dari teman setia ki
ranya. 

Bahkan lagaknya tidak ubah seperti sahabat karib yang sentiasa menanti kehadiran sahabatnya. Tanpa jemu tanpa lelah, betapa setianya dia. 
Tanpa khabar, tanpa tanda ia akan menyapa sesiapa yang diperintahkan kepadanya. 
Lelaki atau wanita, tua atau muda, miskin atau kaya itu bukan matlamat utama.

Barangsiapa lalai dan terleka maka mereka tidak akan bersedia menerima tetamu yang isitmewa ini. Lalu persiapkanlah diri untuk menyambutnya sebelum dia menjemput diri.

~Kullu Nafsin zaikatul maut~


Al-fatihah.

Friday, May 31, 2013

Hakikat Da'ie

Bismillah..
Assalamualaikum wbt..


Dalam kesibukan yang menghambat manusia, sangat sukar bagi diri ini untuk istiqamah mencoret sedikit kata-kata berkongsi rasa dengan semua..Alhamdulillah segala pujian bagi Allah Pentadbir semesta alam yang maha berkuasa, syukur dengan segala nikmat yang diberiNya terumata nikmat iman dan islam..



Bingkisan kali ini jua dengan izin dariNya. Meskipun banyak perkara ingin dibincang dan dikongsi bersama namun ketentuan Allah itu selalu mengatasi segalanya bukan. Senyum, redha dengan percaturan yang Allah tetapkan.



Dengan kahangatan PRU13 yang telah menyengat dan mendebarkan rakyat Malaysia, pelbagai rasa yang menghambat seluruh rakyat Malaysia. Begitu juga kami yang jauh di perantauan ini tetap tidak ketinggalan mengikuti perkembangan khabar negara tercinta. Namun, pelbagai rasa yang menghantui  kini mampu diubati, paling kurang ia dapat meredakan serta mengalihkan diri dan sahabat-sahabat dari terus menerus mengecam dan mengkritik ketidakadilan sistem pilihanraya dan sebagainya. Ingin diceritakan  pada 8 April lalu bumi Mu'tah dikunjungi sosok tubuh yang sangat tidak asing dalam dunia penulisan.. siapa yang tidak mengenali gerangan yang bernama Ust. Sya'ari Abdul Rahman penulis buku "Kuasa Kepimpinan Al-fateh". Hadirnya beliau dalam Program Generasi Al-Fateh sangat memberi makna kepada keluarga PERMATA, serangan demi sengan beliau tujukan kepada peserta untuk menghayati semangat kental yang ada pada insan yang bernama sultan Muhammad bin Murad. Kalau ingin dihuraikan semula apa yang ust.Sya'ari sampaikan, mungkin coretan kali ini akan setebal buku yang boleh dicetak semula..




Namun bukan itu persoalannya, ia cuma sekadar intro untuk mendapat semangat daripada sejarah Al-fateh. Seorang remaja yang bisa menakluki dua pertiga dunia, dan dia jugalah yang merealisasikan hadis nabi Muhammad s.a.w. Dialah gerangan yang dimaksudkan Nabi S.A.W sebagai 
"sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera ketika itu".
Dan bukan juga ingin mengulas apa yang telah berlaku kepada negara kita Malaysia yang kecoh dengan isu PRU13 dan seangkatan dengannya.



Sebolehnya diri ini memcuba untuk membawakan pengisian yang santai untuk dihayati dan direnungi bersama. Memberi nasihat dan peringatan bukan bermaksud diri ini baik apatah lagi sempurna. Segan kerana  belum mampu lantang di alam nyata, meski di alam maya harap ianya dikira ibadah oleh Allah.


Mari kita renung kembali hakikat golongn agamawan kini, perbagai ragam dan rupa. Ramai yang lantang dan petah dalam berbicara tapi sayang kurang bijak dalam budi bahasanya. Ramai yang sedar penyakit parah yang melanda ummah, tapi berapa ramai yang ingin mengubatinya?  Ramai graduan agamawan yang berjaya meraih gelaran tapi berapa ramai yang sanggup berkorban? Kadang-kadang 'ramai' itu membanggakan, tapi adakalanya ia memalukan. Sedih dan pilu..namun, ai adalah realiti yang hakiki.


Antara sedar atau tidak realiti hidup di akhir zaman semuanya cepat dan pantas. Betul bukan. Perbezaan masa 'dahulu' dan 'kini' sering dijadikan alasan dalam dakwah. Tidak sempat itu dan ini. Rentetan masa yang menghimpit amanah, ianya sanggat mudah digunakan. Antara komentar yang sering digunakan, "Masa zaman Rasulluah dulu lainlah, masa berjalan lambat, sekarang ni akhir zaman masa memang berlalu cepat". 


Sedar tak sahabat sekalian, masa dulu kelihatan lambat sebab belum wujud zaman teknologi yang canggih-canggih. Zaman yang menjadi kebanggaan manusia sekarang, zaman yang menghambakan manusia. Seorang Ustaz Anhar Opir pernah berkata  "memanglah zaman dulu lambat sebab sesuai dengan keadaan masyarakatnya, dan zaman kita cepat sebab adanya alatan-alatan elektronik yang canggih-canggih. Tapi  tak mengapalah sebab kecepatan kita ini telah dibantu dan dicover dengan alatan tersebut supaya seiring bersama. Jadi kenapa perlu ada alasan sedemikian? Tersenyum saya dibuatnya. Betul, memang benar apa yang dikatakannya.
Mungkin ayat tersebut kedengaran biasa-biasa saja, ataupun bagi yang membaca kelihatan biasa-biasa juga sebab sudah menjadi kebiasaannya ayat itu dilontarkan di mana-mana oleh siapa-siapa.



Melihat dunia hari ini, orang-orang Islam ibarat digenggam oleh belenggu orang-orang kafir. Akhirat mereka luput, dunia pun tercicir. Budaya jahil tidak diambil peduli, melampau-lampau dalam hiburan, khayalan keterlaluan... luas membanjir menenggalamkan dunia ini. Tidak tertaksir orang-orang yang karam.
Kita lupa semua jawapan persoalan kehidupan yang mahir dihafal. Mampukah kita menjawab di hadapan Mungkar dan Nakir nanti???!



Daripada Tsauban r.a berkata : 
 Rasulullah S.A.W bersabda :
"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu
bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka."
Maka salah seorang bertanya : "Apakah kerana kami sedikit ketika itu?"
Nabi S.A.W menjawab :
"Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tapi kamu umpama buih di waktu banjir,
dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, 
dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'."
Seorang sahabat bertanya :
"Apakah 'wahan' itu ya Rasulullah?"
Nabi lalu menjawab :
"Cintakan dunia dan takut pada mati"
[RIWAYAT ABU DAUD]



Dakwah ini bermula dengan Nabi S.A.W seorang, kemudian disambung oleh para sahabat. Islam mula tersebar ke seluruh pelusuk alam. Kita yang tinggal adalah pewaris amanat risalah suci ini. Bagaimana mungkin kita ingin menyebarkan kesucian andai kita yang menodainya? 



Apabila agama gagal memberi harapan maka ianya bukan dari tuhan,
 antara kata-kata yang dinukilkan dalam video singkat matlutfi yang bertajuk "sayap sebelah".
Video yang hakikatnya menceritakan jumud sesetengah golongan agamawan dalam berdakwah. 
Lantas hanya tahu menghukum tanpa memberi jalan penyelesaian. 
Yang akan manatijahkan Mad'u makin jauh dan jauh..
Meskipun kita bukan orang yang hebat dalam bicaranya, 
 tidak hebat dalam ilmunya,
tidak hebat dalam hartanya,
KITA tetap DA'IE
semua orang di sekeliling kita adalah Mad'u kita.



Mungkin pandangan setiap individu berbeza, banyak perkara yang boleh kita tafsirkan dengan menonton video tersebut. Namun, saya tidak meminta anda bersetuju dengan pandangan ini. Mesejnya tetap luas. 
Cuma saya pinta cuba difikirkan dengan kematangan ilmu dan bukan hanya emosi. 
Emosi tetap perlu tapi biar seimbang iramanya.
Kerana emosi selalu berjaya menguasai hati sehingga akal waras tunduk membisu, 
yang pada asalnya mencari kebenaran akhirnya bertukar menjadi memenangkan pendirian.



Akhir kalam entry kali ini, membacalah, bermusafirlah, mengkajilah..
Sangatlah beruntung orang-orang yang Allah beri masa yang sama banyak seperti orang lain tetapi 
dia mampu melakukan lebih banyak kebaikan dan kerja dengan masa yang sama 
berbanding orang lain.

Wassalam.


Friday, February 1, 2013

~SENYUMAN bUKAn uNTuk diSIMPAN~

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamu’alaikum sahabat-sahabat sekalian, apa khabar??
Penulis doakan semoga semua dalam keadaan sihat dan aman sejahtera..amin.

Awan putih berarak mewarnai pagi jumaat yang dingin, hening suasana bumi mutah. Tenang sahaja kelihatan rumah-rumah jiran. Musim Syita memujuk manusia rajin berkurung di rumah. Beginilah suasana Jordan, tenangnya bukan kerana apa. kedai-kedai runcit, pasar sayur dan restoran hanya akan di buka seawal jam sembilan pagi. Berbeza sungguh dengan suasana di Malaysia, para peniaga bangun sebelum terbit mentari dan memulakan operasi mereka.. Andai kata musuh datang menyerang seawal jam tujuh pagi, pasti mudah untuk menakluki jordan ini kerana orang-orang arab masih lena dibuai mimpi. Mereka hanya akan benar-benar bangun sekitar jam lapan pagi untuk melakukan persiapan aktiviti-aktiviti mereka. - Fakta ini tidak merujuk kepada semua orang arab, tapi ia adalah golongan majoriti. Memanfaatkan waktu pagi sangat seronok dan beruntunglah orang-orang yang bisa bermujahadah melawan nafsu tidurnya untuk bangun pagi dan beribadah. Permulaan hidup kita adalah di waktu pagi, sesiapa yang mampu memulakan waktu paginya dengan baik, in sya Allah kita akan mengakhirkan malam kita dengan sempurna.
Adakah kita tergolong dalam kalangan mereka??
Mukaddimah entry kali ini berkisar sedikit perkongsian tempat diri ini bermusafir, in sya Allah  bersambung lain kali pula ya.^^

Masa sekolah menengah dulu,penulis sangat suka window shopping. Suatu hari, penulis temankan seorang sahabat outing. Katanya mahu beli barang, salah satu destinasinya adalah kedai POPULAR BOOKSTORE. Penulispun tumpang sekaki juga cuci mata. Dalam hati Allah sahaja yang tahu masa tu, subhanallah!! Banyaknya buku baru!! Ni yang tak boleh tahan ni-getus hatiku.
Dari satu rak ke satu rak kaki melangkah, di tangan sudah penuh buku-buku yang menjadi pilihan. Gelojak hatiku sukar menolak nafsu yang satu ini, kerana buku adalah antara sahabat terbaikku.
'wow, banyaknya buku! orang tu kata cuma mau window shopping'- perli sahabatku. Terkejut dengan sergahan itu dan berpaling. 'Heeeeheee', balasku sambil tersengih. Bukan beli semuapun, masih rambang mata ni. sambungku kembali. End of the story, penulispun belilah juga beberapa buku dan salah satu daripadanya bertajuk 'The Power Of Miskin'. Dalam buku ini banyak kisah yang kita boleh ambil iktibar apabila pembacanya melihat dengan mata hati dan bukan dengan mata kail. Dalam buku ini juga penulis akan berkongsi sedikit resepi inti yang boleh  diaplikasikan dalam masakan-masakan kita seharian. Hehe..

Kali ini, nak kongsikan sebuah cerita mengenai Hasan Al-Basri yang melihat seorang wanita yang sangat indah...indah kerana senyumannya.

Al-kisah, pada musim haji ketika Hasan Basri dalam kedudukan tawaf, dia melihat seorang wanita yang amat cantik. Wajahnya yang bersinar membuatkan Hasan Basri spontan berkata, “ Belum pernah aku melihat wanita dengan wajah ayu,berseri dan elok dipandang.”

Wanita tersebut mendengar kata-kata Hasan Basri lalu dia berkata, “kamu tidak mengetahui apa pun tentang aku.”

“ceritakanlah padaku” seloroh Hasan Basri.

Sambil menatap langit, wanita itu bercerita.
“Suatu masa yang lalu aku ingin menghidangkan kambing gulai untuk keluargaku.
Oleh yang demikian, suamiku memilih seekor kambing yang terbaik. Lalu dia mengajak anak lelakiku yang berusia lima tahun turut serta dalam proses menyembelih kambing tersebut. Selesai menyembelih, dia meninggalkan anak lelakiku sendirian bersama golok yang lupa dibawa bersamanya.”

Sambil menarik nafas panjang, wanita itu meneruskan ceritanya.

“Kemudian dengan membawa golok, anak lelakiku menghampiri adiknya yang
berumur  dua tahun sambil berkata : “ dik, aku baru melihat ayah menyembelih seekor kambing. Kamu mahu tahu caranya? Si adikpun mengiyakan dengan isyarat anggukan kepala. Si abang terus merebahkan adiknya di atas sebuah batu. Kemudian hujung golok itu diletakkan di atas kulit leher adiknya yang putih mulus. Lalu….

Kressssssss!!!!! Anak lelakiku yang berumur lima tahun itu tidak tahu apa yang dia lakukan. Dia ketakutan melihat darah yang deras mengalir dari leher adiknya. Dek kerana itu dia berlari laju meninggalkan si adik yang berlumuran darah menuju ke hutan.”

Wanita itu kembali menarik nafas dengan dalam, “ suamiku kemudian teringat akan golok yang ditinggalkannya dan kembali ke tempat penyembelihan. Betapa terkejutnya dia melihat tubuh si bongsu yang sudah kaku tidak bernyawa dengan leher yang hampir putus. Dilihatnya juga anak lelaki keduanya berlari menuju ke hutan. Dengan perasaan yang tidak menentu, dia berusaha mengejar anak lelakinya untuk bertanyakan apa yang sebenarnya berlaku. Di tengah-tengah hutan itu dia memanggil-manggil anak lelakinya, namun tidak ada jawapan. Dia sudah semakin jauh berjalan di dalam hutan.

Tiba-tiba..

Dia melihat titisan-titisan darah segar dan samar-samar mendengar satu jeritan.
Dia yakin itu suara anak lelakinya. Dia tergesa-gesa berlari mencari punca suara tersebut. Namun, alangkah terkejutnya dia melihat anak lelakinya yang sedang menjadi santapan dua ekor harimau besar. Dua ekor harimau itu mecarik-carik dan mengoyakkan tubuh anak lelakinya di depan mata kepalanya sendiri.

Oleh kerana tidak berdaya menerima apa yang berlaku, tidak sanngup melihat dua nyawa anaknya melayang di depan mata sendiri. Akhirnya suamiku pun meninggal dunia dengan membawa luka batin yang dalam.

Wanita itu terdiam. Kemudian dia meneruskan, “ Berita tentang kematian suamiku
dan kedua anak  lelakiku akhirnya sampai pada anak perempuan sulungku. Dia menghidap penyakit jantung. Dek kerana tidak kuat menahan kesedihan yang teramat, penyakitnya pun menyerang. Tidak berapa lama kemudian, dia akhirnya menyusul ayah dan kedua adiknya.

Wanita itu berhenti bercerita. Hasan Basri pula terdiam seribu bahasa. Takjub.
Dia seorang wanita, ya wanita tapi kesabarannya telah mengalahkan seribu lelaki.

“Hari ini”, tiba-tiba wanita itu berkata, memecah kebisuan Hasan Basri.
“Aku mengadu kepada Allah bukan kepada manusia. Aku tersenyum kepada semua manusia agar Allah memasukkan aku ke dalam senarai hambaNya yang sabar. Kita semua milik Allah dan akan kembali kepadaNya bila-bilapun Dia mahu.”
Selesai bercerita wanita berkenaan itu berlalu pergi meninggalkan Hasan Basri yang berasa amat takjub. Di sebalik senyuman yang menawan dan wajah yang ayu mempersona, wanita itu telah menyembunyikan kedukaan mendalam dari semua makhluk yang menatapnya. Dia hanya membuka aibnya kepada Rabbul ‘Izzati.

Adakah dalam kalangan kita yang jauh lebih menderita dari kisah wanita di atas??
Mungkin, ujian yang kita perolehi pada saat ini jauh lebih ringan. Namun, mengapa keluhan kita jelas jauh lebih besar??

Penulis tidak akan menyalahkan seseorang yang kadangkala mengeluh pada kesukaran, Hal yang demikian kerana manusia sangat sukar melepaskan diri dari keluhan-keluhan yang kadangkala singgah bila keadaan diri berat diuji.
Tetapi apa salahnya jika kita hadapi semua ini tanpa melupakan senyuman?
Sudah habiskah semua nikmat yang kita miliki sehingga senyumanpun tiada?

Adakah senyuman itu perlu tempoh yang lama?
kenapa senyum sekejappun payah?
Sudah sedemikian memuncakkah penderitaan kita sehingga senyumpun sukar?

Ayuh saudaraku!!
Ayuh sahabatku!!
Tersenyumlah!!!

Senyumlah pada dunia, meski berat ujian yang melanda.
Senyumlah pada manusia, kerana ia adalah aura cahaya.
Meski ia bukan penghibur lara di hatimu,
mungkin ia penawar duka insan di sisimu.




Wassalam..=)




Thursday, January 31, 2013

Mengimbau silamku =)




Bismillah..

Syahdu memulakan sapaan alam dengan seruan ilahi.
Liqo' mingguan seperti biasa mengatur langkahnya menyapa minda, membuka ruang ikatan ukhuwah dan menorobos relungan jiwa dengan perkongsian mutiara berharga.

Benar. Perkataan yang baik umpama secakir kopi panas yang mengalir membasahi kerongkong menghalau kelesuan dan menghadirkan kesegaran badan di kala kantuk mula menerja fokus.



Moga ianya tidak terhenti di sini..




Dalam tidak sedar, aku berjalan perlahan dalam kotak ingatan. Menelusuri segenap memori yang kian samar. Menyelongkar diari yang terkambus lama. Dalam kepayahan ada kelegaan, aku pasrah dalam senyuman. Damainya suasana itu, meskipun aku ingin kembali seperti dulu hakikatnya ia adalah kanvas yg telah penuh dengan lukisan dan abadi dengan warna-warni. Rindu dengar tazkirah Abi-Chan yang santai tapi sarat dengan semangat pejuang!!



Suatu saat dulu, remaja ini cuma anak-anak riang yang sangat lurus dan senaif usia mereka.
Berlatarkan identiti yang berbeza mereka menyimpul ukhuwah, mereka hadir ke sekolah saling berlumba mencapai cita-cita. Indahnya waktu itu hanya mereka yang bisa mengunkapkannya. Di kala remaja lain berlumba memanjat pagar sekolah untuk meloloskan diri mencari keseronokkan di dunia luar. Mereka lebih suka berlumba mempertahankan kehadiran mereka ke sekolah. Bahagia rasanya apabila saling berkongsi rasa yang mampu mengembirakan orang lain iaitu ibu bapa tercinta, guru-guru dan sahabat-sahabat yang di kasihi. Hari-hari berlalu  menyaksikan tekad mereka merealisasikan usaha murni keluarga dan guru-guru tercinta.



Rugi rasanya kalau ponteng kelas walaupun hakikatnya diri tidaklah sehebat dan sebijak sahabat-sahabat yang lain. Mengimbau kenangan lama mampu mengukir senyuman tanpa kusedari,
 rindu..hanya itu yang bisa kunukilkan.



Kini. Apabila berada dalam alam universiti, suasana itu seakan-akan pudar. Entah di mana silapnya, mungkinkah kerna teman perjuangan ku kini bukan orang yang sama? atau mungkinkah kerna kesedaran dan semangat kami tidak sama? atau mungkinkah kerna apa? aku termangu sendirian..
cuba untuk meniti hikmah di sebalik ibrah yang ku temui. Cuba mengenal kekhilafan diri, 
cuba menyuntik semangat baru yang kian menjauh. 
Dalam kekalutan hidup ini, ku harap ada sapaan tarbiyyah yang sentiasa memimpin tanganku. 
Aku mengerti, mungkin cara ini perlu diubah. sebagai mahasiswa yang menuntut ilmu alam perlu sentiasa menjadi ejen perobah zaman.



Pesan seorang sahabat 
Aku melihat pelangi mengukir senyum.. 
Seolah2 sedang memujuk langit yang menangis..
Mentari bagaikan memberi ruang dan pluang.. 
Sembunyi sinarnya di sebalik awan yang berarak pergi.. 
Bumi yang basah kini kembali bertenaga.. 
Semoga hari ini lebih baik daripada semalam..
Koreksi diri bukan untuk tunjuk kita hebat

Mungkin kita terlepas pandang dan sering mengharap orang mentarbiyyah kita,
pernahkah kita terfikir bahwa kitalah ejen yang Allah jadikan wasilah untuk mentarbiyyah dan merobah zaman.
salam muhasabah =)