JellyPages.com

Monday, July 29, 2013

::10 Akhir Ramadhan:: Di Mana Hatiku???

بسم الله الرحمن الرحيم 

السلام عليكم ورحمة الله وبركته 

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kita masih mampu menginjakkan  kaki ke pintu 10  malam-malam terakhir Ramadhan. Alhamdulillah. Dalam  kekalutan diburu peperiksaan dan beban amanah saban hari ternyata membuat diri terleka bahawa tetamu istimewa ini semakin deras melangkah pergi. Sentap membilang waktu yang berbaki. Ya Allah..10 hari lagi? Sungguh aku belum puas, belum puas untuk meneguk mutiara-mutiara yang Engkau hamparkan dalam lautan Ramadhan ini. Sangat luas, ternyata semakin aku telusuri semakin ia mempesona diri. Ternyata Ramadhan di perantauan tidak sesekali merugikan! Tidak! Banyak ibrah yang menjenguk hati, meminta untuk dibelai dan dihayati serta hikmahnya dikongsi bersama.

Mari mengembara kisah ini!
Selamat membaca..

Fenomena yang ku temui saban hari sangat berbeza dengan situasi yang pernah dilalui dahulu. Keadaan ini kadangkala memaksaku untuk bermonolog dan hanyut seketika dalam bayangan silam..
"10 hari terakhir Ramadhan sangat berbeza suasananya kalau di Malaysia," monolog Maria.

Malaysia
Detik-detik 10 Ramadhan terakhir sepatutya sangat meriah, bagaimana? Malaysia memang meriah tapi meriah yang berbeza maksudnya. Anda tahu?
Cuba senaraikan...

hmm..

Waktu-waktu sekarang ibu-ibu sibuk membuat kuih muih sama ada untuk tempahan ataupun persiapan rumah terbuka sendiri. Peniaga berlumba-lumba merebut pelanggan kerana mereka telah maklum bahawa masa yang sangat baik untuk menambahkan pendapatan adalah Ramadhan.kerana pada masa ini kuih muih, biskut-biskut raya sangat laku di pasaran.

Pada waktu ini juga, jalanraya sentiasa sesak kerana ramai yang balik ke kampung, ke bazar, ke pusat beli belah dan sebagainya. Tapi yang peliknya, kebanyakkan jalan raya akan lengang menjelang Maghrib kerana semua berpusu-pusu lari mendahului Maghrib agar mampu berbuka di rumah.

Di sekolah, pelajar-pelajar dan guru-guru semakin teruja menunggu hari cuti. 

Tukang-tukang jahit semakin khusyuk kerana kesuntukkan masa untuk menyiapkan tempahan baju yang telah ditempah sebulan dua yang lalu.

Lagu-lagu raya kedengaran berkumandang di sana sini. Seakan-akan bandar berpesta dengan pemergian Ramadhan.

Iklan-iklan di Televisyen dan Radio mula mengeksploitasi sambutan raya dengan produk-produk mereka yang kadangkala tiada kaitan langsung dengan bulan Syawal. Kelakar!

Iklan-iklan mula beroperasi mempromosikan rancangan sepanjang Ramadhan bermula dari takbir raya sampai habis bulan Syawal, bermula dari jam 12 tengah malam sampailah 12 tengah malam. Begitulah saban tahun, aku melihat fenomena itu berulang dan berulang. Kadangkala rancangan itu telahpun ditayangkan pada raya tahun lepas. Tak faham. Tapi itulah realitinya. Realiti kehidupan yang diatur kebanykkan media massa Malaysia. Tidak perlu disebutkan yang mana kerana anda juga tahu yang mana. :)

Waahhhh... banyaknya! Tapi macam baru sikit kan? Senarai ini cuma umum, belum pun lagi disentuh hal-hal yang melibatkan tarbiyyah dan sebagainya. Di setiap negeri dan kampung pasti lain pula ceritanya, bukan?

Hmm..

Di Mana Hatiku???

Kembali menjenguk hati, abaikan situasi-situasi yang berlegar-legar di minda anda. Renung kembali 20 hari Ramadhan yang telah kulalui. 

Apa ibrah yang telah engkau telah resapi di sanubari?

Apakah hikmah mampu engkau muntahkan sepanjang hari? paling tidak seminggu sekali? atau tiada langsung yang berbekas di hati? Sentap. Persoalan yang sering mengahantui namun gagal dirungkaikan dengan jawapan yang mantap dan meyakinkan.

"Aaaaahhhhh...!" Serentak helaan nafas yang panjang Maria akhirnya memuntahkan keluhannya. Sambil memerhati keadaan masyarakat arab yang sibuk dengan pelbagai urusan. Otak Maria ligat berfikir jawapan terbaik untuk menenteramkan hatinya. 

Mengapa Ramadhan kali ini masih sepi baginya, tidak seperti Ramadhan yang lalu. Sudah 20 hari Allah membelai manusia dengan tarbiyyah Ramadhan ini. Bahkan pelbagai program telah disertai sama ada ceramah, diskusi, qiamullail dan sebagainya. Namun, ia seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja lagaknya. 

Maria gadis yang petah berbicara kini kelu diam seribu bahasa. Buah fikiran yang dahulunya sering mendahui rakan-rakan di kala berbincang kini bertebaran entah di mana. Buntu gara-gara mencari hatinya. Dia juga buntu mengapa surat cinta ilahi itu tidak lagi menggetarkan hati dan mengujakan dirinya.

Ya Allah, apakah hatiku telah mati? bisik hati kecilnya. 

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta (Tiada Tuhan selain engkau)” Riwayat Abu Dawud, Ahmad. 

Sungguh semenjak kebelakangan ini, hati ini seakan jauh dari mengharapkan keredhaan dan rahmat Allah. 

Maria teringat telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai program Qiamullail pada bulan lalu. Namun, program itu telah dibatalkan serta merta kerana cuma beberapa orang sahaja yang hadir. Lalu disuruhnya sahabat-sahabat yang lain itu pulang ke rumah masing-masing dan berqiamullail di rumah. Cepat dan mudah sahaja Maria memberi arahan tanpa berbincang dengan AJK bawahannya.

Maria tertunduk, malu dengan kekhilafan diri. Semudah itu aku menilai sesuatu, qiamullail bukan diukur berdasarkan kuantiti tetapi kualiti ibadah tersebut. Mungkin itu puncanya Allah marahkan diriku. Aku begitu mudah membuat keputusan sedangkan ia belum pun bermula dan membuahkan natijah.

"Ya Allah.. sungguh hanya RahmatMu yang ku harapkan." 
"Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati-hati..janganlah engkau pesong hatiku sesudah engkau memberi petunjuk dan hidayahmu kepadaku. Engkau tetapkanlah hatiku dengan agamamu dan ketaatanku kepadamu,", doa Maria separuh merayu.


Allahu akhbar..Allahu akhbar..

Lama Maria terpaku mendengar sahutan azan yang mula kedengaran di berberapa masjid berdekatan. Sayup kedengaran azan asar berkumandang dari Masjid Syuhada. Kelihatan juga beberapa orang syabab arab dan malizi bergegas berjalan kaki menuju ke masjid menyahut seruan kejayaan. Kejayaan pasti yang Allah janjikan sama ada di dunia atau di akhirat. 


Kemudian Maria menadah tangan berdoa selepas azan. Sebak.

Maria dihayun berlalu menuju ke bilik air. Paip dibuka dengan lafaz basmallah. Dimulai dengan membasuh tangan kanan. 

"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang telah kulakukan dengan kedua tanganku ini sama ada sengaja atau tidak. Jauhkan tangan-tanganku ini dari azab api nerakaMu ya Allah."


Ketika berkumur-kumur, maria juga berdoa. 
" Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang telah aku lakukan dengan lidahku ini sama ada dari perkataan yang nyata mahupun sembunyi ya rabb. Jauhkan lidahku dari azab api nerakaMu ya Allah."

semakin lama semakin deras air mata Maria tatkala mengenangkan dosa-dosanya yang lalu, dia mengulangi doanya untuk diampunkan dosa-dosanya yang lalu pada setiap anggota yang dibasuhnya.

Akhirnya Maria paling teresak ketika berdoa : 
"....Ya Allah, jadikan aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat. jadikan aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci dan jadikan aku dalam kalangan orang-orang yang berbuat kebaikan." 



Pada akhir sujud Maria berdoa, 
"Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri..aku gagal memanfaatkan masa dan nikmat yang engkau berikan padaku sepanjang hidup ini,juga sepanjang Ramadhan ini."
"Ya Allah, berikanlah aku peluang untuk menebusnya ya Allah.."
"Ya Allah.. sungguh hanya RahmatMu yang ku harapkan." 
"Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati-hati..janganlah engkau pesong hatiku sesudah engkau memberi petunjuk dan hidayahMu kepadaku. Engkau tetapkanlah hatiku dengan agamaMu dan ketaatanku kepadaMu".

Selepas memberi salam, Maria menyeka air matanya. Akhirnya kelopak matanya dibasahi mutiara jernih. Begitu juga hatinya, basah dengan getaran-getaran yang dicari-carinya. 

Sungguh. Bertafakkur sebentar lebih baik dari solat 1000 rakaat. Hati kecilnya kini mula hidup dan bersemangat kembali. Hati Maria terasa lebih ringan dan tenang. 

Kesimpulannya

Kita perlu ada sensitiviti berkenaan kesihatan hati kita. Untung sahaja andai kita senasib dengan Maria kerana masih diberi kesempatan untuk bertaubat dan sedar akan kesilapan-kesilapan yang lalu.

Kita juga perlu memanfaatkan kesempatan yang Allah masih berikan kepada kita, iaitu kesempatan berada pada malam-malam 10 akhir Ramadhan. Kerana belum tentu Ramadhan akan datang adalah milik kita. Tapi Maut itu pasti akan menjemput kita.

Usah disibukkan dengan perkara duniawi hingga luput ukhrawi di sanubari, tidak salah membuat persiapan raya seperti membuat kuih muih, biskut raya, menempah baju dan sebagainya. Namun, jangan sampai kita sibuk dan mengabaikan tuntutan yang lebih penting seperti memperbanyakkan membaca Al-qu'ran, sedekah, memberi makan kepada orang-orang berpuasa, berbuat baik kepada jiran tetangga dan banyak lagi.

Ramadhan bukan pusat latihan untuk belajar lapar dan dahaga, namun ia adalah madrasah tarbiyyah untuk mendidik kita bertaqwa melalui proses puasa.
Seperti mana pujukkan Allah dalam surah Al-baqarah ayat 183 : 

يا أيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Mudah-mudahan langkah kita selepas muhasabah bersama Maria ini mampu membantu diri mengharungi saat-saat kemuncak Ramadhan dan diterima Allah doa dan diampuni dosa-dosa kita. Ameen.

Wallahu'alam.



No comments: