JellyPages.com

Friday, February 7, 2014

CERITA ITU

Wanita tua iu tetap gagah melayani karenah cucu-cucunya. Dilayan juga permintaan mereka meski perkara sama yang sering dipinta. Tiada riak marah di wajahnya. Tanpa jemu diturutinya. Rengekan manja itu berhenti tatkala nenek mula duduk di tepi tilam cucu-cucunya. Mata bersinar-sinar. 


Ditatap wajah mereka satu persatu. Redup pandangan penuh keibuan itu singgah bersama senyuman tua yang tiada pudar sirnanya. Permintaan ditunaikan. Malam itu, sekali lagi mereka hanyut belayar dalam cerita nenek yang pernah diulang entah untuk kesekian kalinya. Begitulah rutin malam Lina dan adik-adiknya meski usia sudah menginjak dewasa. Cerita indah nenek pasti dirindui andai duduk berjauhan di asrama.


Lina suka cerita klasik itu, ia penuh drama yang membahagiakan. Seribu keterujaan tersirat di dalamnya. Babak yang dipamerkan cukup menggambarkan nilai juang dan pengorbanan dalam memburu redha ilahi. 


Hari berganti hari, bulan berganti bulan hingga tahun sempurna untuk dihitung kembali. Kisah semalam yang dianggap Lina sebagai inspirasi kini masih samar-samar posisinya, bahkan dirasakan semakin malap cahayanya. Saban tahun dia belajar tentang sejarah, tetap saja subjek itu tidak berjaya menarik perhatiannya. Pelik mengenangkan dirinya, Lina semakin tertanya-tanya mengapa dirinya lebih suka mendengar cerita nenek meski ia adalah perkara sama yang diulang dan diulang bagai tiada cerita bahagia yang lain, berbanding hujah guru sejarahnya yang sangat semangat bercerita di hadapan kelas meski dirinya sering terbang jauh belayar ke dunia lain. 


Apa bezanya mereka, kenapa perasaan itu tidak sama?
Rasa yang sering ingin hadir bersama semangat mereka? Rasa yang seakan-akan dirinya hidup pada riwayat yang sama. Sering dirinya berharap agar suasana itu ada pada zamannya, tapi seakan mustahil untuk memanggil zaman kegemilangan Islam kembali dijulang. Tidak mustahil. Namun, mungkin bukan masanya lagi. 


Subjek sejarah hanya tinggal cerita. Dahulu sewaktu kaki melangkah ke tingkatan satu wajahnya ceria berseri-seri menanti cikgu untuk membuka cerita. Cerita hikayat yang akan membukanya jalan untuk mengembalikan rasa itu. Disangkanya cerita seperti yang didendang nendanya, riwayat sang pewira yang ditindas kerana membela kebenaran. Disangkanya cerita seperti hikayat klasik yang penuh ibrah dan khibrah. Rupa-rupanya ia mitos yang telah lama disensasi sejak berdekad lamanya. Hancur punah harapan hati kecil Lina. 


Sejarah hanya tinggal cerita. Sejarah itu hanya akan dihayatinya jika sang pembentangnya adalah nenek, kata-katanya penuh makna yang menggetarkan. Tersimpan sejuta harapan di setiap pengakhiran. Beza yang ditemui dalam diri nenda yang tiada pada mereka yang muda. 


Sejarah itu tidak sesekali Lina lupakan. Cuma mungkin sistem pembelajaran sekolah gagal menyuntik cinta dan semangat itu persis nenek melakukannya. Dia guru sejarah terbaik kami. Nenek seperti diberi kuasa dalam kata-katanya. Tersumat kukuh setiap butir ucapan menasihati cucu-cucunya untuk mengkaji sejarah sebaik dan semampu yang boleh. "Sejarah yang benar akan menjawab banyak persoalan yang kamu perlukan dalam hidup ini cu. Asal saja diri kita jangan jemu dan bersungguh-sungguh mengahyatinya."


Lama Lina mencari perasaan itu agar kembali bermukim seperti zaman kanak-kanak dahulu. Tiada dia menemuinya di bangunan yang berdiri megah, tiada pada cahaya lampu yang gemerlapan di jalanan, tiada juga pada insan-insan yang hidup dalam kemewahan. Namun, Lina berjaya menemukan rasa itu dalam pengembaraan yang panjang, dalam permusafirannya yang dirancang tuhan. 


Ditakdirkan Allah, Lina bermusafir untuk beberapa purnama mengembara ibrah di bumi anbiya'. Sangat berbeza bumi barokah dengan tempat-tempat yang pernah dijejakinya. Meski Islam itu lebih terpancar di tempat lain, bumi anbiya' ini mampu mengembalikan perasaan itu. 


Sayang perasaan yang ditunggu itu hadir bukan kerana gembira dunia Islam sekarang sudah dijulang gemilang. Bahkan perasaan itu hadir menggambarkan kesedihan. Pilu dan kecewa kerana Islam semakin hilang. Budaya Islam dijulang mereka yang menhancurkannya, dan budaya itu hilang pada mereka yang memilikinya.
Dek kerana itu, perasaan yang menggetarkan suatu ketika dulu kini kembali bersemi. Semakin memahami erti omelan nenda yang dulu tidak difahami. Mutiara itu sudah lama tidak menghiburkan hari-harinya, lama menghilang seperti lamanya hilang perasaan itu. 

Pandangannya ditutup. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, kemudian dihembus perlahan-lahan sambil memerhati manusia yang kelihatan sangat kerdil tika dirinya berada di puncak Petra. Inilah antara salah satu bukti kisah dahulu yang masih tersimpan kemas ceritanya hingga kini. Hal yang demikian kerana Petra sahaja mempunyai pelbagai riwayat yang tersendiri. 


"Akan kubawa kaki ini terus melangkah, berlayar dan terbang sekalipun semata-mata menggali dan mencari hikmah ibrahMu ya Allah." bisik hati kecil Lina.


Nekad dirinya. Tekad bersama hammasah baru mula menyusun gerak langkah menjelajah tinggalan sejarah, supaya suatu hari nanti anak cucunya bisa mengerti sejarah hari ini. Tidak mengulangi kesilapan dulu dan menjadi pencetus kehidupan rabbani.

No comments: