JellyPages.com

Wednesday, July 17, 2013

Dengan nama Allah yang maha Pemurah Lagi maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Sudah lama tidak membuka ruangan maya ini, apatah lagi mencoret kata-kata. Rindu. Rindu merungkai hikmah hidup untuk dikongsi bersama. Rindu mentadabbur alam yang memuntahkan ibrah setiap masa. Alhamdulillah, hari ini semua yang bernyawa punya rencana yang tetap Allah tetapkan buat dirinya. Bersyukur kita masih berkesempatan menjadi tetamu Allah dalam madrasah Ramadhan yang barokah dan mulia ini. Adakah ia adalah Ramadhan terakhir bagiku? Tiada siapa mampu memberi jaminan.

Ramadhan pertama di perantauan, ramadhan pertama hidup berjauhan, ramadhan pertama penulis berseorangan tanpa keluarga tersayang. Namun, ia lumrah bagi insan berjuang. Sebagai pelajar yang hidup merantau dan bermusafir ia sebenarnya adalah kemanisan dalam menuntut ilmu, kerana di sini kami belajar erti kasih dan sayang.  Di sini juga kami mengenal erti pengorbanan yang sebenar. 


Kami merasai suasana yang tiada di Malaysia. Kami mampu mengenal budaya arab dalam menyambut bulan ramadhan. Solat fardhu di masjid sentiasa penuh. Saf-saf makmum sangat rapat dan sesak. Mak cik- mak cik yang dimamah usia itu tetap gagah mengerjakan solat sunat terawih berjemaah walaupun dengan kudrat yang tidak seberapa. Hatta ada dalam kalangan mereka yang hanya mampu solat di atas kerusi. Subhanallah, betapa mereka berpesta ibadah dalam bulan rahmat ini. Usia bukan penghalang. Melihat kesungguhan mereka, diri ini terasa sangat malu. Sungguh malu. Penulis saja berkali-kali memaksa diri untuk solat terawih di masjid.

Dek kerana itu, diri ini sentiasa merasa tercabar. Tercabar kerana belum mampu beramal dengan nikmat yang Allah kurniakan. Bukankah salah satu tanda syukur kita itu adalah menggunakan nikmat yang diberi??? Timbul keazaman tinggi untuk mencontohi mereka, menjadikan mereka peransang untuk diri ini terus bersemangat beribadah meskipun cuma ibadah sunat sahaja. 


Dalam keterujaan penulis menanti sahabat Ramadhan yang dirindu, diri ini terkejut menerima berita pemergian nenda tercinta. Sedih. Dari kejauhan diri hanya mampu mengirim doa kepadanya. Memang berat untuk menerima tapi hati kena redha.


Memandangkan jarak masa antara Jordan dan Malaysia selama 5 jam, pastinya orang Malaysia akan mendahului kami memasuki pintu Ramadhan. Pada 1 Ramdhan, selepas balik dari kuliah hati tiba-tiba teringin buka laman sosial muka buku. Tanpa lengah diripun buka muka buku, dan seperti biasa penulis akan meninjau khabar dari keluarga, saudara-mara dan sahabat-sahabat di Malaysia terlebih dahulu. Setelah beberapa minit kemudian, penulis terbaca status pak cik yang menghabarkan pemergian mak cik saudara pada malam Ramadhan. Kaku tanpa suara. Innalillahi wainna ilaihi raji'un akhirnya terpacul dari mulut setelah sedar ketentuan ilahi. Sungguh tiada siapa yang mampu menduga hidup dan ajal manusia. Masih terkesan dengan pemergian nenda, kini mak cik pula menyusul. Allahu rabbi...

Khabar ini adalah berita kelima yang kuterima sepanjang tahun ini. Sungguh ajal itu sangat dekat. Mati bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan tetapi adalah titik permulaan. Maka dengan itu penulis menyeru sahabat-sahabat sekalian marilah kita memohon keampuanan dan bertaubat kepada Allah serta meningkatkan amalan kita untuk bekalan di alam sana kelak. 



Mati adalah kunci hidup abadi
Hati perlu seniasa mengingati mati
 kerana
Mati adalah kunci kehidupan abadi

MATI

Mengingatinya mampu menjadikan kita termotivasi.
Mengingatinya hidup lebih berhati-hati.
Mengingatinya kita lebih bermisi.

Sungguh dengan mengingati mati itu tersirat makna yang sangat dalam buat penduduk bumi, membuatkan kita lebih berstrategi dalam memilih laluan hidup ini.

Sungguh tetamu ini sudah kita ketahui tugasnya sentiasa menjenguk dan melawat diri, lebih kerap dari teman setia ki
ranya. 

Bahkan lagaknya tidak ubah seperti sahabat karib yang sentiasa menanti kehadiran sahabatnya. Tanpa jemu tanpa lelah, betapa setianya dia. 
Tanpa khabar, tanpa tanda ia akan menyapa sesiapa yang diperintahkan kepadanya. 
Lelaki atau wanita, tua atau muda, miskin atau kaya itu bukan matlamat utama.

Barangsiapa lalai dan terleka maka mereka tidak akan bersedia menerima tetamu yang isitmewa ini. Lalu persiapkanlah diri untuk menyambutnya sebelum dia menjemput diri.

~Kullu Nafsin zaikatul maut~


Al-fatihah.

No comments: